Sunday, May 22, 2016

REAKSI BUKAN PEROKOK TERHADAP VAPE

Artikel oleh: James E. Reba



Baiklah para pembaca semua, kedatangan Vape yang dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda di negara ini sejak tahun 2015 mengundang kepada pelbagai persepsi kepada masyarakat. Sudah pastinya, persepsi masyarakat kelihatan mempunyai dua sisi iaitu sisi positif dan sisi negatif. Untuk mendapatkan pandangan-pandangan dan reaksi golongan generasi Y berkenaan penggunaan rokok eletronik ini, saya telah menjalankan temuramah secara rawak setiap orang di mana saya telah bertanyakan beberapa soalan kepada mereka. Yang uniknya, saya mencuba untuk mendapatkan reaksi golongan bukan perokok untuk mengetahui sendiri pandangan mereka terhadap rokok vape.
            Saya telah menemuramah seorang respondan iaitu Michael (23) dan bertanyakan pendapat beliau tentang penggunaan Vape dalam kalangan masyarakat pada zaman kini. Michael mengatakan bahawa;

Trend vape memang menjadi kegilaan pengguna rokok pada masa kini. Bagi saya, vape mungkin lebih memberikan keselesaan terutama  asap vape kerana asap vape mengeluarkan bau yang harum berbanding rokok biasa yang mengeluarkan bau yang boleh membahayakan kesihatan kita yang menghidu bau tersebut,” – Michael.

            Michael mengatakan bahawa beliau lebih gemarkan vape berbanding rokok biasa walaupun beliau bukanlah seorang perokok atau pengguna vape kerana asap vape kelihatan tidak membahayakan berbanding dengan asap rokok biasa. Seterusnya, saya juga turut menemuramah seorang lagi respondan iaitu Diana (21).

“Saya mula peka dengan isu vape setelah membaca beberapa portal berita pada tahun lepas. Banyak pandangan negatif dan positif yang diutarakan oleh masyarakat berkaitan rokok eletronik ini. Pada pendapat saya, rokok eletronik vape ini mungkin agak selamat berbanding rokok biasa yang inti utamanya adalah nikotin. Cuma pengguna vape kena membayar harga lebih berbanding rokok biasa. Merokok vape bagi saya terpulang kepada kemampuan individu itu sendiri. Jika mereka berkemampuan untuk membiayai rokok vape, tidak salah mereka beralih kepada rokok itu,” – Diana.

            Respondan saya yang terakhir adalah Francisca (20). Beliau sendiri mempunyai kawan-kawan lelaki dan perempuan yang mula berjinak-jinak menghisap vape.
“Saya punya ramai kawan yang merupakan perokok tegar tetapi telah beralih kepada rokok vape kerana mereka berasa rokok ini kurang membahayakan berbanding rokok nikotin. Pandangan masyarakat pasti berbeza. Ada yang menyokong dan ada yang tidak. Namun pada saya, agak tidak manis seorang perempuan menghisap vape di tempat umum seperti pusat membeli belah kerana khuatir kepada pandangan masyarakat nanti. Namun itulah, setiap orang mempunyai persepsi yang tersendiri. Kita tidak boleh salahkan juga mereka,”- Francisca.

            Begitulah tadi respon daripada tiga orang respondan berkenaan rokok eletronik vape ini. Setiap mereka mempunyai pendapat-pendapat yang berbeza. Para pembaca, untuk menghormati permintaan dan privasi mereka, saya tidak akan menyiarkan gambar-gambar mereka yang telah ditemuramah di dalam blog ini.

No comments:

Post a Comment