Saturday, May 28, 2016

REAKSI PEROKOK TERHADAP VAPE

Artikel oleh: James E. Reba

Para pembaca sekalian semakin lama semakin hebat topik kita ini. Topik yang bertajuk Vape Dalam Kalangan Generasi Y. Untuk entri yang sebelumnya, saya telah bertanya secara rawak beberapa orang pelajar mengenai reaksi mereka terhadap penggunaan vape dalam kalangan generasi muda. Sudah pasti, pendapat berbeza diutarakan oleh mereka mengenai isu vape ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada mereka atas kerjasama yang diberikan sepanjang saya menemubual mereka.

            Para pembaca sekalian, seterusnya saya akan menulis entri berkenaan pendapat dan reaksi golongan perokok terhadap rokok eletronik vape ini. Tujuan entri ini ditulis adalah untuk mendapatkan kedua-dua sisi pandangan golongan bukan perokok dan perokok terhadap rokok vape ini. Saya berpendapat dengan mewujudkan kedua-dua entri ini yang mana saya telah mendapatkan pendapat mereka agar entri ini tidak bersifat berat sebelah. Respondan pertama yang saya sudi meluangkan masa untuk ditemuramah adalah Awang (24).

“Saya memang seorang perokok tegar, semenjak zaman tingkatan enam. Sehari dalam enam tujuh batang rokok saya habiskan. Memang agak teruk selera merokok saya. Namun kehadiran vape mengubah persepsi saya terhadap rokok eletronik ini, walaupun rasanya tidak seperti rokok biasa, namun rokok ini mampu membantu saya mengawal pengambilan seharian rokok. Ya, saya masih lagi merokok rokok biasa namun jumlah pengambilan rokok tersebut dapat saya kawal,” – Awang.

            Begitulah pendapat Awang mengenai penggunaan rokok eletronik kepada dirinya sendiri. Respondan kedua pula yang sudi meluangkan masa untuk ditemubual adalah Joseph (23). Joseph bukanlah seorang perokok tetapi seorang pengguna vape.

“Sejujurnya, saya bukanlah seorang perokok rokok biasa tetapi hanya seorang perokok vape. Saya mula berjinak-jinak dengan rokok ini selepas  melihat video vaping di sebuah laman instagram. Sejak dari situ saya mula berminat. Disamping vape kelihatan diterima umum, saya juga begitu tertarik dengan haruman-haruman cecair yang digunakan dalam vape berbanding asap rokok biasa. Ia tidak menyesakkan,”- Joseph.

            Respondan terakhir kita adalah Richard (22). Pendapat Richard mengenai rokok eletronik vape adalah seperti berikut;

“Saya merupakan seorang perokok. Namun saya tidak begitu gemarkan rokok vape. Rokok vape harganya mahal. Saya juga tidak gemarkan membeli cecair e-liquid. Saya lebih suka membeli sekotak rokok yang berharga bawah Rm10 berbanding membeli starter kid yang harga beratus-ratus. Lagipun, saya sudah selesa merokok rokok biasa berbanding vape,” – Richard.

            Begitulah pendapat-pendapat golongan perokok mengenai rokok eletronik vape. Seperti pendapat beberapa orang respondan yang bukan golongan perokok, pendapat mereka ini juga mempunyai perbezaan dan pandangan yang tersendiri. Seperti yang dinyatakan dalam entri sebelumnya, untuk menghormati privasi para respondan yang ditemuramah, saya tidak akan menyiarkan gambar-gambar mereka dan maklumat peribadi mereka di dalam blog ini. Akhir kata, semoga tulisan kali ini bermanfaat kepada anda semua.


No comments:

Post a Comment